Tuesday 25 December 2012



Ketenangan itu indah
Keindahan itu ketenangan
Lalu....
Mensyukuri rahmat Ilahi
Agar kita tidak alpa
Siapa kita di sisiNya

Wednesday 19 December 2012

Di musim ini...

Aku mohon...
jangan ganggui aku
kesejukkan...
tidak begitu bermaya
kehujanan
namun perlu ku teruskan
demi kehidupan
selagi terdaya
dalam redhaMu...
kerna 
ini warna  kehidupanku
sejak azali...



Thursday 13 December 2012



Mekar mu....

Mekar mu...
menyentuh jiwa
ada manis
di wajah ayu
namun
panahan dugaan
sering membelit diri
mencari ruang
menggoda diri
andai alpa
siapa diri
siapa Dia...


Wednesday 31 October 2012



Masjid Selat, di Melaka.

Keindahan seni binanya menjadi tarikan pelancong di negeri Bandaraya Bersejarah itu.
Moga akan bertambah jiwa yang tenang...tatkala menyembah yang Esa...

Saturday 20 October 2012

Bunga-Bunga Cinta

Bunga-bunga cinta 
Sentiasa mekar melakar
Kisah silam yang masih segar......



Friday 12 October 2012

Senja Yang Mendamaikan

Siang yang melakar
Seribu cerita
Pastikan berakhir
Bila senja
Menjelma diri
Seperti semalam


Wednesday 10 October 2012

Keberangkatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad Ke-V untuk merasmikan Persidangan Dun Kelantan pada 1 Mac 2012 lalu. Sultan Kelantan yang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan.


Tuesday 9 October 2012


Jambatan Sultan Yahya Petra, menggunakan pone tablet samsung sewaktu pulang dari program Pantai Seri Tujuh Tumpat.
Panas terik ketika ini, awan bergumpalan di dada langit yang terbuka.

Friday 5 October 2012


Pemandangan penempatan perahu nelayan di Kampung Pulau Gajah Pengkalan Chepa.

Friday 15 June 2012

Dato' Ustaz Yahya Othman Idola Jutaan Ummah


                         Ustaz Yahya Othman

Berita kematian Allahyarham Dato' Ustaz Yahya Othman, mengejutkan semua masyarakat Islam bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di seluruh negara.

Pemergiannya ketika berusia 73 tahun di rumahnya di Kampung Labok, Machang ketika sesi akhir menyiapkan 'editing' buku terbarunya memang mengejutkan.

Amalan hidupnya seharian yang penuh dengan dakwah, Islam, dan keperibadian tinggi akhirnya meninggalkan dunia juga ketika kerja-kerja Islam

Saya mengenalinya sebagai seorang ulama', sebagai seorang ustaz, sebagai seorang pemimpin yang tegas .
Saya masih ingat bagaimana dia tidak membenarkan saya menemuramah pemimpin tertinggi parti Islam Hamas yang datang ke Kelantan untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangan menawan Kelantan pada 21 Oktober 1990, selepas parti PAS mencapai kejayaan besar.

"Anti tak payahlah interview dia, biar wartawan muslimin saja,"ujarnya.  Ketika itu beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, selepas memenangi calon dalam PRU Banggol Judah.

                 Tuan Guru ditenangkan kerana bersedih mengenangkan pemergian Ustaz Yahya Othman yang banyak berjasa pada kerajaan negeri, Islam dan jemaah seluruhnya.

Saya tidak berkecil hati dengan tindakannya, mungkin dia ingin menjaga saya. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memandang saya hanya dengan pandangan yang kosong.   

Suatu hari seorang rakan memanggil saya memberitahu Ustaz Yahya ingin bertemu dengan saya di Kediaman Rasmi Menteri Besar JKR 10. Ketika itu beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan memadangkan beliau tidak bertanding lagi pada pilihanraya umum 1994.

Dalam hati saya, terfikir kenapa dia memanggil saya.  Bukan mudah dia akan memanggil seorang muslimat jika tidak ada perkara yang penting.

Lalu saya terus mendapatkannya yang sedang menunggu kedatangan saya.
Telah saya duga, saya mempunyai urusan penting di Narathiwat, Selatan Thailand.

"Anti... ana minta anti pergi ke Narathiwat bersama Muslimat negeri. Cover program Himpunan Muslimat di sana dengan baik,"ujarnya dalam bentuk arahan.

Saya mengangguknya, insyaallah sambila menyatakan apa yang perlu saya higlightkan dalam story saya nanti.

Saya bersyukur, permintaan itu telah saya penuhi, bukan sahaja saya telah pergi, sebaliknya juga Pengarang telah menyiarkan berita itu di muka tengah akhbar dua muka surat.  Syukur alhamdulillah.

Sebagaimana saya segan dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz, begitu juga saya segan dengannya.

Kali terakhir bertemu dengannya 2010, sewaktu perjalanan ke Perak, Kuala Lumpur untuk urusan kerja bersama suami dan Setiausaha Pimpinan PKR Negeri Mohmmad Hisomuddin Bakar yang kebetulan ada program di dewan Labok, milik allahyarham.

Dia masih seperti dulu, pengisian agama diberikan berhubung dakwah, perjuangan, semangat yang perlu ditekankan dalam perjuangan dan lain-lain lagi.

                   Jenazah Ustaz Yahya Othman

Saya juga mengambil kesempatan bertemu isteri dan anak-anaknya yang kebetulan ada di rumah. Isterinya yang saya panggil Kak Sah, teruja menerima kunjungan saya kerana telah lama tidak bertemu.

Dia terus memeluk dan mencium saya, terasa diri yang kerdil ini dihargai. Anaknya Najwa tersenyum memerhatikan gelagat kami.  Lama bersembang sebelum meneruskan perjalanan ke Perak dan Kuala Lumpur.

Pemergiannya sukar dicari ganti, memperhambakan diri untuk perjuangan setiap saat dan waktu.

Dia adalah seorang ulama, seorang pembimbing, seorang dai'e, seorang pempimpin, idola tarbiyah yang disayangi berjuta ummat terutama yang sering mendekati dirinya.


Allahyarham mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Islam Ikhwan Muslimin sejak beliau masih belajar di sana.

Sewaktu menjadi anggota exco kerajaan negeri, beliau sering berhadapan dengan kritikan pihak lawan terutama berhubung menutup aurat khususnya  muslimat yang berada di bawah kawalan kerajaan negeri seperti kakitangan awam, peniaga di pasar kerana tidak berpuas hati sambil menyifatkan ianya sebagai satu paksaan.

Akhbar pihak lawan menjadikan isu berkenaan sebagai utama sehingga meletakkan berita itu di muka hadapan akhbar masing-masing.

Begitu juga tentang larangan penyertaan tilawah al-Quran oleh golongan muslimat, sekali lagi beliau berhadapan kritikan selain Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah juga tidak kurang hebatnya diperkatakansehingga ianya menjadi isu hingga ke hari ini.

Saya mengenali agak rapat dengan anak bongsunya yang saya panggil Nida, menyelami bagaimana sifat ayahnya sewaktu dia masih kanak-kanak.

Tokoh pendidik, petah berbicara seumpama ayahnya memang ada pada Nida.

Bagi Nida ayahnya memang tegas, tetapi tidak garang, boleh bermanja.  Kami adik beradik sayang padanya.

Ya... kita semua sayang padanya.

Di kala mentari semakin berlalu
pergi mu dengan pesanan bermakna
yang perlu difahami oleh pendokong Islam

Biar pedih jiwa meratapi....pergi mu menjadi kepastian bila tiba ketikanya. 
Lumrah kehidupan berakhir kematian

Alfatihah....

Perjalanan terakhir allahyarham selepas selesai solat jenazah yang diimamkan oleh Tok Guru Nik Aziz di Masjid Labok, Machang.

Foto: Zam Zamani

Thursday 10 May 2012

Pantai Kuala Pak Amat, Sabak, Pengkalan Chepa


Hanya tinggal kenangan.... Pondok kecil ini semakin dibawa arus
ombak yang sering menghempas pantai. Andainya dahulu ianya sering
dijadikan tempat untuk berehat... namun kini semakin dibawa arus.
Keindahan ciptaan Ilahi... pelbagai bentuk, jenis, bauan dan warna...bunga-bunga kecil yang hanya melata di rumput tetap indah di mata...Subhanallah.... Aku hanya mengabadikan ciptaanMu yang maha indah   
                                            

Thursday 26 April 2012

Bersih 3.0 dilancar di Makkah dan Madinah

Bersih 3.0 dilancar di Makkah dan Madinah


Subhanallah.... Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah mengubah status blogku...

                                    Besih 3.0 dilancarkan di masjid Nabawi, Madinah, hari ini.



MAKKAH: Gerakan untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia melalui Bersih 3.0 dilancarkan di dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah hari ini.

Ia dilancarkan oleh aktivis Bersih 3.0 yang berada di kedua-dua kota ini hari ini, dua hari menjelang perhimpunan raksaksa di Kuala Lumpur 28 April ini.

Di Makkah, pelancarannya dibuat di depan restoran D'Saji milik Malaysia yang terletak dibangunan perniagaan di hadapan Masjidil Haram.

(Bersih 3.0 dilancarkan di perkarangan restoran D'Saji, Makkah hari ini)

Kira-kira 20 rakyat Malaysia terlibat di majlis pelancaran itu. Hampir kesemua mereka memakai baju kuning berlogo Bersih 3.0 di samping menaikkan banner Bersih 3.0.

Di Madinah pula, pelancaran dibuat di dalam perkarangan Masjid Nabawi iaitu di bawah payung gergasi masjid itu.

Di sini, lebih ramai aktivis berkumpul iaitu kira-kira 30 rakyat Malaysia yang sedang berada di sana.

Mereka juga memakai baju kuning Bersih 3.0 di samping menaikkan banner.

Friday 13 April 2012

Kasih Ibu Kasih Sejati



Kasih ibu tiada taranya... kasih ibu tiada tandingnya....kasih ibu tiada penamatnya... kasih ibu membawa ke syurga...subhanallah...

Hati begitu tersentuh dan terharap apabila terbaca kisah ini yang dipetik oleh Harakahdaily...tidak mengira bangsa...tanpa dikira pegangan agama...kasih seorang ibu terhadap anaknya adalah kasih sejati anugerah Allah yang amat sukar untuk dimengertikan.

Sila hayati kisah yang dipaparkan ini, bagaimana seorang ibu tetap berjuang untuk anaknya agar terus hidup disaat sahabat, saudaramara terdekat termasuk isteri meninggalkannya. Mujur masih ada seorang ibu..walaupun sudah uzur dan berusia... kasih tetap tidak berubah...

Lelaki ini menghidap penyakit asma dan hidup menderita berhampiran hospital Jipmer, Pondychery, India.  Namun ibu lelaki tersebut tidak berputus asa untuk memberikan kasih sayangnya serta berusaha untuk menyelamatkan anak kesayangannya itu.

Di sini cukup memberikan pengajaran...kasih ibu tetap tidak berubah di saat insan yang lain pergi meninggalkannya....Subhanallah...tiba-tiba terkenangkan ibu yang juga sudah uzur dan berusia...ya Allah kau selamatkan keduanya...lindungilah mereka ya Allah dari segala bencana....amin.

Sunday 8 April 2012

Senja Di Kuala Besar

Senja Di Kuala Besar....


                                            

Thursday 5 April 2012

Penempatan Perahu Nelayan-Bachok

Sebelum senja, setelah penat di lautan mencari rezeki .... di sinilah destinasi kami kerana ketenangannya tetap ada  di sini





Monday 2 April 2012

Langit Tidak Selamanya Mendung.....

Saya mengenalinya sejak zaman remaja lagi, iaitu ketika era akhir tahun 80-an. Antara saya, dia, serta dua orang lagi sahabat kami dialah yang kelihatan agak mewah. 
Apa tidaknya, dia merupakan anak bongsu, ditanggung pula oleh seorang abang yang ketika itu bekerja di Singapura. 


Bagaimanapun hidupnya berubah apabila berkahwin   dengan seorang lelaki pilihan hatinya sendiri sewaktu bekerja di sebuah kilang batik di Kota Bharu.
Mungkin itu ujian Allah untuknya, nasibnya tidak semewah dahulu lagi, apa lagi suaminya hanya mampu bekerja di kilang batik sahaja dengan bayaran upah tidak seberapa. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, ditambah pula jumlah anak yang tidak begitu ramai, rezeki yang diperolehi mampu menampung keluarganya yang ketika itu hanya empat orang.


Setelah beberapa tahun tidak bertemu, akhirnya sekitar tahun 2003, saya bertemu semula dengannya.
Fizikalnya sudah begitu berubah. Saya dibawa oleh sahabatnya 'Nora' yang juga rakan sekampungnya.
Saya begitu terkejut melihat perubahan dirinya.


Nampak kehidupan keluarga sahabat saya ini begitu dhaif, dengan rumah hanya satu bilik, bertangga tiang kayu, anak ketika itu lapan orang (kini 12 orang). 
Saya menahan sebak melihat keadaannya.  Saya pergi dengan tangan kosong tanpa membawa sebarang buah tangan.


Namun saya cukup kagum dengan anak-anaknya, begitu bersopan, tidak diajar bermain di rumah jiran, hanya bermain dengan adik beradik sendiri, tahu menghormati tetamu, tidak membuat onar di hadapan tetamu. Semuanya berderet menyandar di dinding.... ikut turutan jumlah adik baradik ... subhanallah.


Pertemuan saya tidak berakhir di situ, saya sendiri menjejak rakan saya itu di rumahnya tanpa bantuan sahabat saya Nora.  Banyak yang saya ketahui fasal keluarganya... Namun dia seorang isteri, ibu yang tabah...mampu menghadapi ujian hidup dunia yang ditelan arus kemodenan....


Dengan pertolongan rakan sekerja 'Noraisiah', saya mendapatkan beberapa peruntukan yang juga dari sahabat saya sendiri termasuk tabung kebajikan tempat kami bekerja.


Dengan peruntukkan itu, saya membeli dapur, dan  balang gas termasuk keperluan dapur.  Saya bertekad tidak mahu lagi melihatnya menggunakan dapur kayu... sudahlah dia begitu penat membasuh pakaian dengan  cara manual (tangan) memasak juga terpaksa mencari kayu, pada masa yang sama terpaksa 'menggendong' anak.... 
alhamdulillah hasrat itu akhirnya berjaya.


Salah seorang anaknya, kalau tidak salah saya anaknya yang ke-8 dibela oleh adik iparnya, kebetulan adik iparnya tidak mempunyai zuriat sendiri.


Benar kata orang, kasih ibu tiada nilainya, walaupun sukar sekalipun, biar penat melanda jiwa... untuk berpisah dengan zuriat sendiri adalah sesuatu perkarang yang tidak mungkin. Namun demi masa depan anak... dia terpaksa menyerahkan juga anaknya walaupun seumpama jantungnya direntap ketika itu...alhamdulillah...anak itu semakin berjaya dan cemerlang dalam pelajaran.
Ditambah pula anak-anak yang dibelanya sendiri kadang-kadang tidak membawa wang saku ke sekolah kerana tiada duit.  Duit yang ada hanya cukup untuk membeli beras, ikan kering dan telor untuk digoreng dadar sahaja. Ada baiknya beliau menyerahkan sahaja anaknya itu kepada adik iparnya.


Kini waktu telah berlalu....setelah tidak melahirkan zuriat lagi, dia telah mula bekerja, untuk membantu keluarga dan suami, apa lagi suaminya tidak mampu bekerja kerana pernah terkena 'angin ahmar'.


Dengan pertolongan rakannya yang baru dikenali, dia menjual produk minuman dan herba rakannya itu dengan menaiki basikal dari rumah ke rumah.... pendapatannya dalam RM20 sehari.  Saya, boss dan rakan sepejabat turut membeli prouk berkenaan sebagai tanda sokongan untuknya.  
Pada masa yang sama beliau turut mengambil upah membuat bunga stokin.


Langit tidak selamanya mendung...bila awan berarak pergi...pasti alam menjadi cerah disinari mentari. Kehidupan kawan saya ini semakin berubah.  Tiga orang dari anak-anaknya telah berjaya melanjutkan pengajian ke IPT, malah yang sulung pula telah tamat mengikuti kursus jururawat di Masterskill.





Thursday 29 March 2012

Ibubapa bisu, tetapi anak cemerlang SPM 20011bi






Saya hampir menitis air mata bila bertemu dengan ibubapa pelajar cemerlang  sekolah agama Arab ini.
Betapa tidak, mereka tidak mampu bercakap, mendengar, sebaliknya mempunyai  anak pelajar cemerlang.


Bukan sahaja tidak mampu bercakap, sebaliknya ayah Baiti Mohd Parik hanyalah seorang tukang rumah yang berpendapatan kurang RM700 sebulan.


Nur Baiti Mohd Parik, 18 merupakan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama (A) Tarbiah Mardhiah Panchor.


Baiti bukan sahaja berjaya mencipta rekod baru pelajar cemerlang 9A dalam peperiksaan SPM tahun lalu, sebaliknya sekolah MTM itu sendiri buat julungkalinya muncul 100 peratus lulus SPM.


Apa yang membanggakan, MTM hanyalah sebuah sekolah agama rakyat yang dibantu oleh kerajaan negeri di bawah Yayasan Islam Kelantan.


Bagaimanapun sentiasa muncul salah sebuah sekolah bantuan kerajaan negeri yang unggul berikutan kejayaan yang dicapai pelajar dan aktiviti ko-kurikulumnya.


Menariknya pasangan suami isteri ini, tidak bersekolah, namun mampu berkomunikasi sesama sendiri termasuk anak-anak melalui teknik sendiri.


Sebagaimana ibu lain, kejayaan anak-anak mereka bergantung pada doa-doa seorang ibu disamping usaha lain.
Begitu juga dengan ibu Baiti, Suria Abdul Rahman, 41 yang turut mendoakan untuk kejayaan tujuh orang anak-anaknya.


Suria juga melahirkan beliau bersama suaminya begitu bangga dengan kejayaan anak-anaknya yang lain termasuk Baiti yang berjaya mencipta rekod baru di sekolah agama rakyat itu.


Sambil menadah tangan, kemudian raup ke muka, Suria menggayakan sebagai tanda berdoa pada Allah untuk kejayaan Suria apabila ditanya sebagai seorang ibu apa yang dilakukannya.


Seorang anak yang baik, berpendidikan Islam, Baiti langsung tidak berasa malu mempunyai ibubapa yang cacat pendengaran seperti ibu dan ayahnya.


"Tidak, saya langsung tidak berasa malu, memang itu sudah ditakdirkan oleh Allah untuk mereka, saya redha dengan ketentuanNya,"ujar Baiti ketika ditanya adakah dia rasa malu mempunyai ibubapa yang sedemikian.


                                                        


Baiti hanya seorang pelajar yang agak pendiam, agak pemalu, namun kerana kepandaiannya dalam pelajaran, beliau dilantik sebagai pengawas di sekolahnya.                                 


Saya juga ingin berkongsi di sini, dua orang adik beradik ayahnya juga tidak mampu bercakap. Tujuh adik beradik yang lain normal sebagaimana manusia lain.


Saya berkongsi pengalaman bertemu dengan keluarga istimewa ini di sini untuk menyuntik semangat  agar kita juga turut mendoakan anak-anak untuk kejayaan mereka.


Kerana itu, saya menerima cadangan Mudir MTM, Ustaz Tajuddin Mamat, untuk melakukan lawatan kekeluargaan ke rumah ibubapa Baiti.                                                                  


Dengan semangat kerjasama, anggota exco kerajaan negeri Wan Ubaidah Omar, Nisa' Pengkalan Chepa untuk turut serta dalam lawatan itu.


Tenaga pengajar MTM yang lain,  Setiausaha Pentadbiran, Fatma Mahmood, Setiausaha Halehwal Murid, Nur Azah Ab Rahman Setiausaha SPM, Balkish Mansor dan Shahrina Shaari, guru redaksi, Munirah Embong turut berkunjung ke rumah Baiti.


Masing-masing menyampaikan cenderahati sebagai tanda sokongan dan tahniah kepada Baiti dan kedua ibubapanya di atas kejayaan itu.


                                                          



Friday 23 March 2012

Saturday 17 March 2012

Oki Setiana Dewi yang aku kenali.


Bertemu Oki Setiana Dewi, 23, terasakan bermimpi. Benarkah aku bertemu dengannya? Benarkah selama tiga hari bersamanya? Betapa tidak jauh dari Indonesia, hanya mengenalinya dari sebuah filem Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2, kemudia senatron Ketika Cinta Bertasbih. Terasa jauh tidak mudah untuk digapaikan tangan untuk mencapainya.

Sebagaimana terasa bermimpi bertemu novelis 'Ayat-Ayat Cinta' dari Indonesia, Ustaz Habiburrahman Al-Syirazy, begitu juga ketika bertemu Oki Setiana Dewi anak sulung dari dua adik beradik yang cukup istimewa kisah hidupnya.

Seorang gadis yang lembut, tapi peramah, mudah tersenyum, bagaimana lembut watak yang dilakukan dalam Ketika Cinta Bertasbih, begitulah di luarnya. Mudah tersenyum, berbicara yang sopan.

Ternyata Oki begitu senang di negeri Tadahan Wahyu yang mula dicintainya itu. Banyak memuji negeri Kelantan bukan sahaja Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebaliknya memuji kaum wanita Kelantan yang sebahagian besarnya menutup aurat, rajin mencari ilmu di masjid-masjid.

Ketenangan, keindahan, keunikan Kelantan yang dilaluinya telah diluahkan dalam puisinya yang bertajuk Negeri Kelantan Seindah Namamu.  Saya tidak mahu mengulas tentang puisi yang dibacakannya, sebaliknya penghayatan, rasa cinta yang ada pada jiwanya terhadap negeri ini itu yang menyentuh kalbu saya.

Saat pengerusi majlis menyebut beliau akan membacakan puisi, hati saya berdebar..kencang... ingin ketahui gerangan puisi yang bakal dibaca... langsung tidak diduga...itu yang terjadi.

Sepanjang tiga hari bersamanya, sejak awal kedatangannya saya turut menyambutnya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bersama urusetia program. Berkenalan lebih kurang, keesokkan harinya ke kediaman rasmi Menteri Besar JKR 10, sepatutnya wawancara jam 12.00 tengahari pada 9 Mac lalu, namun kesuntukan waktu, terpaksa ditunda pada sebelah petang selepas sesi pertemuan dengan Tuan Guru.
Pada malamnya, ke KTC majlis Bicara Selebriti sempena Hari Hiburan Islam anjuran Kerajaan Kelantan dan keesokan harinya pula pelancaran bukunya yang kedua Sejuta Pelangi di Perpustakaan Awam.

Sepanjang tiga hari, kami semakin mengenali antara satu sama lain, sehinggakan tidak pernah berlaku dalam sejarah, anak nombor tiga ku Aisyah mengajakku ke Indonesia untuk ke rumah Oki. Ibunya juga termasuk pengurus Oki semakin rapat dengan anak-anakku. Hahahaha... aduhhh....tapi tentu saja bolehkan? tidak ada yang mustahil...

Di akhir pertemuan, kami bersalam erat... lama... penuh erti. matanya mula berkaca... berulangkali mengucapkan terima kasih atas segalanya. Saya tahu dia bersedih untuk meninggalkan Kelantan.  Saya dan keluarga mengambil keputusan untuk tidak menghantarnya di Lapangan Terbang. Cukup berakhir di perpustakaan itu sahaja.

Kini hanya tinggal kenangan. Semoga bait-bait bicara Negeri Kelantan Seindah Namamu tidak akan melupakannya terhadap negeri kita ini.  Mungkin kita akan bertemu kembali. Insyaallah




Friday 16 March 2012

Bunga hutan- tak pasti apa namanya

Apa dipandang bunga di taman
Andai cantik tiada harumnya
Apa kurangnya bunga di hutan
Indah berseri santun terpelihara


Dirakam di Gua Musang, sempena pilihanraya kecil Dun Galas



Semoga Nasib Azroy Seindah Matanya


Azroy yang sentiasa lincah dan beraksi sentiasa menceriakan suasana

Dia seorang anak yang baik, seorang anak yang pintar, bertanggungjawab, sentiasa riang. Dia cukup istimewa.

Kalau berjumpa dengan saudara terdekat khususnya bapa saudaranya yang dipanggil Pak Tua tinggal di Kelantan yang sudah lama t idak bertemu, dia akan melompat kegirangan sambil memeluk orang yang dirinduinya itu.  Mungkin dia berkata "Ehhh.....lamanya tak jumpa, apa khabar, gembiranya dapat bertemu".

Azroy Akif Irfan Bin Hazrol Nizam, 6, seorang kanak-kanak lincah dan cerdik. namun tidak mampu bercakap atau mendengar kerana kemalangan yang tidak disedari telah berlaku ketika dia berusia 1 tahun 7 bulan.

Betapa tidak, anak yang dilahirkan pada 17 Mac 2006 itu, sebenarat 3.7 di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu yang cukup sempurna sifat pada mulanya akhirnya hilang tiba-tiba hanya kerana satu kejadian.

Azroy ditakdirkan tidak mendengar kerana itu tidak mapu bercakap hingga kini setelah telinganya tercucuk putik kapas yang dikorek sendiri oleh anak malang ini ketika itu.

Selepas kejadian, ibunya Nora Amita yang baru pulang dari kerja terus membawa anaknya ke klinik untuk mendapat rawatan. Bagaimanapun pihak doktor yang merawatnya memberitahu tidak ada apa yang berlaku.

Namun seminggu kemudian, tiba-tiba kedua belah telinga Azroy bernanah. Nora dan suaminya Zam terus membawa anaknya itu ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu.

Namun segalanya telah terlambat, dua belah telinga anaknya itu telah rosak akibat jangkitan kuman setelah gegendang telinganya rosak.

Nora dan Zam menerima ketentuan takdir Ilahi itu dengan hati yang tabah, kering sudah air mata sepasang suami isteri ini.  Jika diraung, jika ditangisi ianya tidak akan pulih semula. Apa yang perlu dilakukan bukan lagi untuk berduka menerima ketentuan takdir itu, sebaliknya berusaha untuk masa depannya.  Kerana itu Azroy kini sedang belajar di Sekolah Pendidikan Khas, Johor Bharu.

Walaupun Azroy ditimbah takdir sedemikian, namun dia bertuah kerana mempunyai kedua ibubapa yang bertanggungjawab yang sentiasa berusaha untuk melakukan persiapan untuk masa depannya.
Nora terpaksa menukar shif kerja berbanding biasa hanya kepada shif petang sahaja bagi membolehkan beliau menghantar Azroy ke sekolah disamping memasak sebelum ke sekolah.

Namun, tahukah anda Azroy mempunyai sepasang mata yang cantik dan jarang ditemui oleh masyarakat di negara kita ini?. Ke mana dia pergi tentu saja matanya menjadi perhatian dan sering disapa walaupun dari orang yang tidak dikenali.  "Ehh... cantiknya mata dia...", itu adalah ungkapan biasa yang sering diterima keluarga ini. Namun Azroy yang memahami matanya menjadi teguran, tersenyum manis. "heheheheh..." gelak....

Azroy mempunyai sepasang mata berwarna grey (biru kelabu). Itulah anugerah Allah yang amat tidak ternilai untuknya. Kebiasaannya rakyat Malaysia sekiranya mempunyai mata yang berlainan warna selain coklat dan hitam, akan menghadapi masaalah pengelihatan, namun Azroy tidak sedemikian.

Nora dan Zam berharap suatu hari nanti Azroy mampu bercakap memandangkan dia kini menggunakan alat pendengaran khas.

"Andainya dia memakai dengan baik, insyaallah dia mampu mendengar dan apabila dia boleh mendengar, insyaallah dia boleh bercakap,"ujar Zam.

"Semoga nasib anakku seindah matanya,"doa Nora untuk anak sulung yang menjadi kebanggaannya itu.


Azroy bersama sepupunya Asiah
Wajah terkini Azroy dari album keluarga Fb ibunya Nora Amita