Thursday 4 August 2016

Salma Husain
Foto: Rizal Tahir
 
                          

          Ahmad Naufal

Selepas Ahmad Naufal Fauzi dinobatkan sebagai johan Qari Jr TV3 Ke-5, ramai yang ingin mengetahui kisah hidupnya seharian.
Kejayaannya yang telah dijangka seawal penyertaannya itu, membuatkan ramai yang tertunggu-tunggu untuk mengetahui kisah hidupnya saban hari.
Ahmad Naufal atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ahmad’  sebagaimana juga kanak-kanak lain.
Gemar bermain, bermanja, berjalan sebagaimana juga kanak-kanak lain, apa lagi sebagai anak tunggal lelaki dalam keluarga membuatkan dia agak diberi perhatian yang lebih terutama kakak-kakaknya.
Namun, apa yang membezakan adalah corak dan cara pendidikkan yang digariskan oleh kedua ibubapanya terutama ketika mengandungkannya lagi.


Ibunya, Wan Mariati Abdul Kadir, 43, ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini memberitahu beliau sering membaca al Quran setiap hari terutama sewaktu mengandung.
Katanya, kebiasaannya ibu yang mengandung hanya memilih surah-surah  seperti Maryam, Yusof, Lokman untuk tujuan-tujuan tertentu.
“Sebenarnya lebih baik membaca sebuah al Quran dan bukannya memilih surah-surah tertentu. Ianya akan terkesan kepada anak yang kita kandungkan,”ujarnya.
Mariati merupakan pensyarah di Politeknik Kok Lanas, Kota Bharu.
Dalam dunia tanpa sempadan ini, ketika kanak-kanak lain leka dengan ‘gejet’, namun keluarga ini mengawal anak-anak mereka dari leka dengan peralatan tersebut.
Bukan itu sahaja, televisen yang menghidangkan pelbagai cerita khususnya untuk kanak-kanak juga hanya waktu tertentu sahaja dibenarkan menonton dalam sehari.
Tambahnya, itupun berkaitan pendidikan agama atau bacaan al Quraan seperti Qari Junior.
“Oleh kerana mereka tidak begitu biasa, akhirnya televisenpun tidak begitu dipedulikan,”ujar ayahnya Ustaz Fauzi Iberahim, 50.


Menceritakan pengalaman Ahmad Naufal dalam pengajian al Quran, Fauzi memberitahu minatnya sudah kelihatan ketika usianya tiga tahun.
Jelasnya, ketika itu Ahmad hanya pandai mengikut kakak-kakaknya sahaja, bagaimanapun setelah usianya lima tahun anaknya itu lebih serius belajar.
Fauzi memberitahu, tidak sebagaimana orang lain, beliau mengutamakan bacaan yang betul atau lebih berkualiti.
“Kerana itu, walaupun sudah berusia 12 tahun, Ahmad baru menghafal dua juz.
“Kami mementingkan kualiti berbanding kuantiti, tidak ada gunanya membaca al Quran sampai dua tiga kali habis sebuah al Quran, tetapi bacaannya tidak betul.


Sebagai seorang yang berilmu dalam al Quran, memandangkan beliau juga pernah belajar di Makkah dan tinggal di sana sejak kecil, Fauzi mempraktikkan pengalaman itu pada semua anak-anaknya.
Katanya, beliau juga tidak memaksa anaknya untuk menghafal al Quran, tetapi terserah pada mereka untuk menghafal berapa ayat dalam sehari.
“Bimbang kalau kita paksa, dia akan cepat jemu,”ujarnya.
Ahmad Naufal bukan sahaja diajar membaca al Quran, sebaliknya dilatih bagaimana untuk menjadi seorang imam solat.
Usaha itu berjaya, apabila bulan Ramadan lalu, anak ketiga dari lima orang adik beradik itu telah mampu mengimami solat sunat tarawih di masjid berhampiran rumahnya di Kampung Dalam Kar, Batu Empat, Jalan Kuala Krai dekat sini.


Menyentuh bagaimana anaknya itu meminati Qari Jr, beliau memberitahu Ahmad Naufal mengikuti program Qari Jr sejak siri pertama iaitu ketika berusia tujuh tahun lagi.
“Sejak itu, dia akan mengikuti program berkenaan dari tahun ke tahun sehinggalah pada tahun lepas,”ujarnya.
Menurutnya, tahun lepas Ahmad begitu berhasrat untuk menyertai Qari Jr, namun malangnya mereka mengetahuinya pada hari akhir tarikh tutup penyertaan.
Ketika itu katanya, mereka sekeluarga berada di Thailand dan tarikh tutupnya sewaktu masih berada di negara terbabit.
“Ahmad menangis kerana tidak dapat menyertai program itu.  Saya memujuk dia, kita cuba tahun hadapan, tak dapat tahun ini tentu ada hikmahnya,”ujarnya lagi.
Bagaimanapun jelas Fauzi, penyertaan anaknya itu pada tahun ini langsung tidak diketahui oleh beliau dan isteri.
Jelasnya, anaknya yang sulung Siti Amirah telah berpakat secara diam-diam mengisi penyertaan tersebut di internet.
“Kami hanya mengetahuinya setelah TV3 telefon untuk menjemput kami ke Sri Pentas untuk ujian peringkat akhir,”ujarnya.
Fauzi seterusnya berkata, amat wajar ibubapa membudayakan membacakan al Quraan dalam keluarga.
Jelasnya, andainya ‘bershopping’ boleh dilakukan bersama, apa salahnya jika membaca al Quran bersama keluarga diadakan sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Tegasnya, bukan setakat membaca, sebaliknya mengamalkan apa yang terkandung dalam al Quran.
“Alhamdulillah, setakat ini walaupun anak saya yang sulung dah berusia 17 tahun, yang adik 14, saya masih mengingatkan mereka tentang solat dan membaca al Quraan,”ujarnya. 
Katanya, tanggungjawab itu tidak akan berakhir selagi ibubapa masih hidup.

Ahmad Naufal pula  berkata, saat yang tidak dapat dilupakan olehnya  apabila  terpilih bersama sembilan orang peserta yang lain untuk ke peringkat seterusnya.
Jelasnya, perasaan semakin cemas apabila menunggu siapa yang tersingkir dan siapa pula yang kekal pada minggu-minggu berikutnya sehingga ke episod ketiga.

“Alhamdulillah, Ahmad antara yang terpilih bersama empat orang lagi rakan untuk ke peringkat akhir,”ujarnya.
Menariknya anak ini berkata, beliau bukan berhasrat untuk menggondol hadiah tempat pertama, sebaliknya untuk mencari pengalaman dan kerana  minatnya cukup tinggi pada program itu.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana Allah telah memilihnya untuk menjadi johan pada malam itu.
“Kenangan yang tak dapat dilupakan sewaktu mula-mula berada di Sri Pentas, malu sangat,”ujarnya sambil memandang ayah dan ibu yang berada di sebelahnya sambil tersenyum.

Ketika ditanya apakah cita-citanya bila dewasa nanti dengan selamba menjawab “nak jadi saintis yang hafaz al Quran,”.
Untuk persiapan ke arah itu, Ahmad berkata beliau berhasrat untuk belajar di sekolah Arab yang mengutamakan hafazan al Quran.
Bagaimanapun, katanya ia terpulang kepada kedua orang tuanya sendiri.

Kemenangannya baru-baru ini, membuatkan beliau seperti berada dalam dunia baru.
Kepulangannya ke Kota Bharu disambut orang ramai termasuk pimpinan kerajaan negeri membuatkan beliau begitu resah.
Pada masa yang sama, rakan-rakan sebaya dan orang ramai pula ingin bergambar dengannya.
“Ketika itu kebetulannya Ahmad demam, jadi dia menangis dan terasa agak rimas, tapi sekarang alhamdulillah, semuanya sudah kembali seperti biasa,”ujar ibunya.
Ahmad Naufal juga  pernah mendapat pendidikan Pasti Muaz bin Jabbal, Kampung Tiong.
Dengan kemenangan itu, Naufal memenangi wang tunai RM10,000, sijil penyertaan, boucer bernilai RM900 dan dua tiket penerbangan untuk menunaikan umrah.
Fauzi sebelum ini pernah menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah bersama anggota keluarga.
“Alhamdulillah kemenangan Ahmad sedikit sebanyak mengurangkan kos untuk ke sana nanti setelah dua tiket percuma diperolehi,”ujarnya.
Turut memberi dorongan terhadap kejayaan Ahmad Naufal adalah datuk dan neneknya, Abdul Kadir Mohamed, 80 dan Maimun Sulong, 71 selain adik beradiknya yang lain, Siti Nur Iman, Siti Amani dan Siti Nur Ilham.

Naufal kini sering diundang memenuhi program khususnya program Pasti sebagai usaha menarik minat tunas-tunas Islam itu menyintai Islam dan alQuran.

Terkenang wajah Naufal yang manja....sering mengukirkan senyuman...namun malu untuk diajak berbicara.....

Naufal....ramai yang ingin menjejaki mu...namun bukan mudah untuk direntasi...jika tanpa iman dan taqwa...jika tiada usaha dan minat...tiada dokongan dan sokongan ibubapa dan keluarga...

Moga Ahmad Naufal kedua akan dapat dilahirkan menerusi program realiti tv kanak-kanak....