Friday 22 March 2013

                                            HAFLAH ILMU
                       
   Kebanjiran Rakyat Lebih 100,000: Adakah sebagai ukuran kemenangan kerajaan Kelantan yang memasuki Tahun ke-23?



Program Haflah Ilmu anjuran Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Ikram Malaysia Cawangan Kelantan dan Haflah, mendapat sambutan masyarakat di negeri itu sehingga berjaya menggamit peserta lebih 100,000 orang.

Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, tempat The Red Warriors dan lawannya berhempas pulas berjuang untuk kemenangan, malam tadi  21 Mac 2013, sekali lagi dibanjiri masyarakat jauh dan dekat termasuk penyokong Pakatan Rakyat dari Terengganu khususnya Besut dan Setiu.

Namun, persoalannya sekarang adakah sambutan hebat penyokong PR itu juga sebagai petanda kemenangan PAS di negeri bertuah itu?.
Ianya akan terjawab selepas PRU nanti walaupun jelas rakyat khususnya penyokong BN sendiri telah ramai yang berpihak pada PAS dan PR.

Ini kerana pihak lawan bertungkus lumus sedaya mungkin mempersembahkan gaya yang cukup lunak untuk menawan hati pengundi.

Program Haflah Ilmu mencipta kemanisannya yang tersendiri. Ianya dianjur melalui portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut hadir pada majlis itu yang datang sebelum Maghrib dari hospital. 
Di tangannya masih terlekat jarum, tentu ruang untuk masukkan air atau ubat. 

Sewaktu saya sedang menunggu program berjalan, tiba-tiba saya terkejut melihat seorang nenek yang jalan perlahan-lahan sambil berkata sesuatu.  Dia ditarik oleh cucunya (mungkin) dengan bag plasti dan bukannya tongkat.
Hati saya sayu melihat suasana itu,  matanya mungkin tidak dapat melihat, namun jiwa dan hatinya celik untuk menilai siapakah pemimpin yang wajar diikuti.

Mungkin nenek ini juga merupakan peminat selebriti dakwah yang datang untuk mendengar ungkapan dan ceramah  pada malam itu.




Saya terus meminta anak saya merakamkan saat-saat yang berlalu di hadapan mata saya itu.  Kerana dia sedang berjalan dan anak saya mengejarnya, gambar agak kelabu. Namun kita mampu melihatnya dengan baik bukan?.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasharuddin Daud telah diamanahkan menyampaikan kuliah Maghrib. Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, mengimami solat Isyak.

Selebriti Dakwah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Haslin Bollywood dijemput sebagai panel pada majlis Bicara Anak Muda itu dengan modaratornya Ustaz Syed Nor Hisyam Tuan Padang.

Program berkenaan penuh ceria, seronok, santai....selain mendapat ilmu dari mereka. Bicara dua penal yang kelakar, job yang tidak melampau membuatkan padang stadium sentiasa 'hidup'....termasuk bertakbir...

Ustaz Haslin Basrin selain menceritakan sejarahnya sebelum menjadi seorang penceramah, beliau turut menyeru anak muda supaya memilih hiburan alternatif. Selain dapat menghidup dan membangun jiwa, ianya turut mendapat redha Allah.

Saya tidak dapat menahan jiwa sayu saya apabila saya memerhatikan mereka di sekeliling saya...memejam mata turut mengalunkan zikir dan ayat2 alQuran yang dialunkan ketika berceramah.


Jelas kelihatan ianya seolah-olah menekan masuk dalam jiwa ayat2 tersebut. masyaallah....saya pandang lagi ke kiri, suasana yang sama juga turut berlaku.  Saya tidak menafikan padang sekali sekala riuh rendah dengan ketawa mereka, tetapi ianya penuh bermakna.

Paling berdebar jiwa, apabila Ustaz Azhar Idrus mengingatkan rakyat Kelantan, supaya tidak menukar kerajaan yang ada hari ini.  Katanya menukar kerajaan sekarang di bawah pentadbiran ulama, mereka sebenarnya sedang menempah tiket untuk ke nerakan.  Masyaallah....


Ustaz Hasrin dan UAI selebriti dakwah yang begitu hebat kini di Malaysia yang indah ini...sebelum ini saya tidak meminati UAI, malah tidak berminat untuk mendengar ceramahnya, namun sekali saya menghayatinya...saya semakin seronok mendengarnya.  Terlalu banyak ilmu yang kita perolehi dan tidak ketahui sebelum ini.

Tahniah untuk Datuk Abdul Fatah Mahmood, di atas kejayaan program yang begitu hebat, pecutan akhir anda benar-benar menyengat.  Ianya tersimpan dilipatan kenangan yang tidak mudah dilupakan.


"Jangan tukar kerajaan Kelantan
Jika tidak anda seumpama menempah tiket ke neraka," Ustaz Azhar Idrus.
                                                  

Wednesday 13 March 2013

  Ibu allahyarham Muhammad Hurairah, tidak mampu menahan sebak dihadapan jenazah anak sulungnya yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara. Moga ibu arwah dan keluarga tabah menghadapi pemergian insan tercinta.


Dua hari lalu, Selasa  Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24 dari pasukan 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Tawau terkorban dalam Ops Daulat yang masuk hari kelapan.

Allahyarham juga  merupakan anggota tentera pertama yang gugur sejak insiden di Lahad Datu itu terjadi dalam pertempuran di Sungai Nyamuk berdekatan Kampung Tanjung Batu dekat Lahad Datu.

Sementara itu, seorang anggota tentera berpangkat prebet maut selepas trak yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 36, Jalan Lahad Datu-Tungku dekat Cenderawasih juga semalam.

Kejadian pada pukul 7.30 pagi itu mengorbankan Ahmad Farhan Ruslan dari Batalion 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Sandakan.

Jenazah Ahmad Hurairah dibawa ke hanger LTSIP, Pengkalan Chepa untuk diberi penghormatan terakhir

Kedua-dua jenazah berkenaan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Kebetulan kedua-dua mereka merupakan anak Kelantan.

Saya tidak pernah membuat liputan ini sebelum ini sejak saya dalam bidang kewartawanan ini. Memang, peristiwa trajis, pilu menyayat hati telah saya temui, namun peristiwa di siang tadi begitu menyesakkan jiwa saya.

Para media dari pelbagai agensi bersama sanak saudara dan pasukan tentera dan polis telah berkumpul seawal jam 7.00 pagi. Saya sendiri tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hampir jam 8.00 pagi.

Dengan berbekalkan pas media, kami dibenarkan masuk, namun selepas itu tidak lagi perlu menggunakan pas media termasuk orang ramai, mungkin memberi peluang pada mereka untuk memberikan penghormatan terakhir pada perwira negara itu.

Saya melihat seorang demi seorang pemimpin kerajaan negeri masuk ke perkarangan hanger di lapangan terbang itu. Datuk Seri Mustapha Mohamed, Datuk Awang Adek Hussin, tidak ketinggalan yang ditunggu-tunggu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Ahmad Yaacob.

Pada mulanya saya tidak berasa apa, cuma terdetik pada perasaan ini ibubapa mereka telah kehilangan anak sulung yang telah banyak berjasa pada negara dan pada anggota keluarganya sendiri.  Itu saja, tidak lebih dari itu.

Namun sebaik sahaja pesawat TUDM mendarat sekitar jam 9.45 pagi dan jenazah mula diturunkan, tiba-tiba saya menjadi sebak. Hati terus menjadi pilu apabila kedua-dua jenazah diusung oleh pasukan tentera petugas.

Ya Allah, kecilnya diri ketika itu, tidak mampu menahan lagi air mata.  Keadaan ketika itu menjadi sunyi, masing-masing sedekahkan alfatihah untuk kedua-dua arwah.

Saya lihat, Tuan Guru, Tok Pa sejak awal lagi diminta ke bahagian tengah di mana tempat jenazah bakal ditempatkan sementara sebagai penghormatan terakhir.

Sekali lagi hati ini hiba, tidak mampu lagi menahan sebak sebaik sahaja melihat ibu allahyarham yang kebetulan berada dihadapan saya juga berhampiran jenazah.

Namun, itulah erti sebuah kehidupan, tiada yang kekal dalam kehidupan ini. Pergi mereka ketika usia muda dalam mempertahankan kedaulatan negara. tanpa mereka siapa kita untuk mengecapi indahnya keamanan ini.

        Sebahagian pasukan tentera yang berkumpul sejak awal pagi untuk menyambut ketibaan jenazah.

Saya meninggalkan lapangan terbang sebaik sahaja kedua--dua jenazah di bawa pergi bersama anggota keluarga masing2.  saya tidak pergi ke rumah mereka untuk liputan seterusnya kerana maklumat itu perlu disegerakan, apa lagi kami belum bersarapan walaupun hampir jam 11.00 pagi.

Perwira ku..
gugurmu  bukan seumpama kemboja
layu dan kering di tanah perkuburan
gugur mu membawa permata keamanan
untuk kami kecapi...
Pergilah...
kerana namamu tidak akan pudar
sebagaimana embun di pagi hari
namun...pergi mu
tersemat pasti dilipatan hati
bersama kenangan yang tidakkan mati