Wednesday, 13 March 2013

  Ibu allahyarham Muhammad Hurairah, tidak mampu menahan sebak dihadapan jenazah anak sulungnya yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara. Moga ibu arwah dan keluarga tabah menghadapi pemergian insan tercinta.


Dua hari lalu, Selasa  Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24 dari pasukan 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Tawau terkorban dalam Ops Daulat yang masuk hari kelapan.

Allahyarham juga  merupakan anggota tentera pertama yang gugur sejak insiden di Lahad Datu itu terjadi dalam pertempuran di Sungai Nyamuk berdekatan Kampung Tanjung Batu dekat Lahad Datu.

Sementara itu, seorang anggota tentera berpangkat prebet maut selepas trak yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 36, Jalan Lahad Datu-Tungku dekat Cenderawasih juga semalam.

Kejadian pada pukul 7.30 pagi itu mengorbankan Ahmad Farhan Ruslan dari Batalion 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Sandakan.

Jenazah Ahmad Hurairah dibawa ke hanger LTSIP, Pengkalan Chepa untuk diberi penghormatan terakhir

Kedua-dua jenazah berkenaan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Kebetulan kedua-dua mereka merupakan anak Kelantan.

Saya tidak pernah membuat liputan ini sebelum ini sejak saya dalam bidang kewartawanan ini. Memang, peristiwa trajis, pilu menyayat hati telah saya temui, namun peristiwa di siang tadi begitu menyesakkan jiwa saya.

Para media dari pelbagai agensi bersama sanak saudara dan pasukan tentera dan polis telah berkumpul seawal jam 7.00 pagi. Saya sendiri tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hampir jam 8.00 pagi.

Dengan berbekalkan pas media, kami dibenarkan masuk, namun selepas itu tidak lagi perlu menggunakan pas media termasuk orang ramai, mungkin memberi peluang pada mereka untuk memberikan penghormatan terakhir pada perwira negara itu.

Saya melihat seorang demi seorang pemimpin kerajaan negeri masuk ke perkarangan hanger di lapangan terbang itu. Datuk Seri Mustapha Mohamed, Datuk Awang Adek Hussin, tidak ketinggalan yang ditunggu-tunggu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Ahmad Yaacob.

Pada mulanya saya tidak berasa apa, cuma terdetik pada perasaan ini ibubapa mereka telah kehilangan anak sulung yang telah banyak berjasa pada negara dan pada anggota keluarganya sendiri.  Itu saja, tidak lebih dari itu.

Namun sebaik sahaja pesawat TUDM mendarat sekitar jam 9.45 pagi dan jenazah mula diturunkan, tiba-tiba saya menjadi sebak. Hati terus menjadi pilu apabila kedua-dua jenazah diusung oleh pasukan tentera petugas.

Ya Allah, kecilnya diri ketika itu, tidak mampu menahan lagi air mata.  Keadaan ketika itu menjadi sunyi, masing-masing sedekahkan alfatihah untuk kedua-dua arwah.

Saya lihat, Tuan Guru, Tok Pa sejak awal lagi diminta ke bahagian tengah di mana tempat jenazah bakal ditempatkan sementara sebagai penghormatan terakhir.

Sekali lagi hati ini hiba, tidak mampu lagi menahan sebak sebaik sahaja melihat ibu allahyarham yang kebetulan berada dihadapan saya juga berhampiran jenazah.

Namun, itulah erti sebuah kehidupan, tiada yang kekal dalam kehidupan ini. Pergi mereka ketika usia muda dalam mempertahankan kedaulatan negara. tanpa mereka siapa kita untuk mengecapi indahnya keamanan ini.

        Sebahagian pasukan tentera yang berkumpul sejak awal pagi untuk menyambut ketibaan jenazah.

Saya meninggalkan lapangan terbang sebaik sahaja kedua--dua jenazah di bawa pergi bersama anggota keluarga masing2.  saya tidak pergi ke rumah mereka untuk liputan seterusnya kerana maklumat itu perlu disegerakan, apa lagi kami belum bersarapan walaupun hampir jam 11.00 pagi.

Perwira ku..
gugurmu  bukan seumpama kemboja
layu dan kering di tanah perkuburan
gugur mu membawa permata keamanan
untuk kami kecapi...
Pergilah...
kerana namamu tidak akan pudar
sebagaimana embun di pagi hari
namun...pergi mu
tersemat pasti dilipatan hati
bersama kenangan yang tidakkan mati




No comments:

Post a Comment