Friday, 14 October 2011

Dia Pergi Jua

"Kiah apa khabar? lama tak nampak dia?,"soalku pada Maryam, kakak Rokiah selepas lama kami bersembang.


Saya bertanya khabar tentang Rokiah sebab sudah hampir empat tahun rasanya tidak bertemu dengan dia.  Namun pertanyaan itu menyebabkan wajah Maryam, agak berubah sambil mengerutkan dahi.


"Kak, Rokiah dah tak ada dah. Dia dah meninggal lama, hampir empat tahun lalu,"ujarnya.


Saya begitu terkejut, tak sangka pertemuan hampir empat tahun lalu adalah pertemuan yang terakhir.  Saya mengenali Rokiah, Maryam serta adik beradiknya yang lain sudah lama, waktu itu mereka masih kecil lagi, termasuk Maryam.


Empat tahun lalu saya bertemu dengannya sewaktu dia bersama seorang anaknya yang ketika itu berusia tujuh bulan, serta suaminya di sebuah taman di Bandar Kota Bharu.


Saya begitu gembira akhirnya dia berkahwin dengan orang yang benar-benar menyintai dirinya.  Namun perasaan halus ini turut tertanya-tanya bagaimana kesihatan dia sekarang? sebab sebelum ini dia pernah memberitahu saya dia telah dijangkiti HIV.


Semuanya gara-gara cinta anak muda yang entah apa-apa..... kerana cinta dikorbankan segala-galanya.  Dia pernah memberitahu saya dia turut dijangkiti HIV akibat hubungan terlarang itu.


Memang dia meninggal dunia akibat penyakit itu, namun saya bersyukur hingga di saat akhir hidupnya kasih sayang seorang suami benar-benar terbukti.


Dia bukan sahaja meninggal dunia di pangkuan suami, sebaliknya hingga ke liang lahad, suaminya sendiri turunkan dia dalam liang lahad.


Menitis air mata ini kerana begitu terharu. Terbayang sewaktu bertemu mereka, anaknya banyak dikawal, dijaga oleh suaminya, sedangkan dia begitu leka bersembang dengan saya.


Saya tidak pasti apakah suami dan anaknya turut menghidap penyakit yang sama akibat berjangkit dengan arwah....hingga kini saya tidak bertemu lagi dengan mana-mana keluarga allahyarham.


Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.... Amin..

No comments:

Post a Comment