Anak Kelantan Mendunia, Sofyank dan Khairul Aming Jadi Inspirasi Anak Muda
Salmah Husain
KOTA BHARU: Kejayaan dua anak Kelantan, Sofyank dan Khairul Aming, yang melangkah ke pentas dunia membuktikan bahawa anak muda negeri ini memiliki potensi besar untuk berjaya dalam pelbagai bidang jika disertai usaha, disiplin dan nilai yang betul.
Sofyank atau nama sebenarnya Muhammad Sofian Abdullah (lahir 30 November 1996) dan Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, keduanya anak Kelantan yang mencipta nama tersendiri hingga di kenali umum.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Kaum, Zamakhshari Muhammad berkata, kedua-dua tokoh berkenaan berasal daripada latar sederhana namun berjaya mengangkat nama Kelantan menerusi bakat, kreativiti serta keperibadian yang terpuji.
Menurut beliau, Sofyank yang berasal dari Wakaf Bharu bermula dengan minat terhadap suntingan video menggunakan peralatan asas sebelum hasil karyanya kini mendapat tontonan di peringkat antarabangsa.
Katanya, setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja mempamerkan kemahiran teknikal, malah mencerminkan ketekunan, keberanian mencuba dan kesungguhan bekerja dengan sepenuh hati.
“Melalui Sofyank, dunia melihat satu lagi sisi Kelantan sebagai negeri yang melahirkan anak muda kreatif, rajin bereksperimen dan berdaya saing walaupun bermula dari tempat yang kecil,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata Khairul Aming dari Kota Bharu pula dikenali ramai melalui perkongsian resipi dan kandungan masakan yang konsisten serta berkualiti sehingga berjaya membina jenama tersendiri.
Tambahnya, pengumuman pembukaan restoran fizikal pertama Khairul Aming yang dinamakan ‘Rembayung’ membuktikan perjalanan kejayaan anak muda itu berkembang secara berperingkat dan berteraskan perancangan yang teliti.
“Apa yang membuatkan masyarakat kagum ialah sikapnya yang tenang, merendah diri dan sangat menjaga kualiti. Nama Kelantan sentiasa melekat pada kisah kejayaannya dan memberi kesan positif terhadap imej negeri,” katanya.
Zamakhshari menegaskan, persamaan utama antara Sofyank dan Khairul Aming ialah nilai yang mereka bawa kepada masyarakat, termasuk akhlak yang baik, ketiadaan kontroversi serta peranan sebagai contoh teladan khususnya kepada golongan belia.
Beliau berkata, kejayaan dua figura itu membawa mesej jelas bahawa laluan dan peluang sentiasa terbuka, malah kemampuan untuk berjaya sudah terbukti wujud dalam kalangan anak Kelantan.
“Dua tokoh ini hanyalah sebahagian daripada ramai lagi anak Kelantan yang sedang meningkat naik dan menunggu giliran untuk menyerlah,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar perjalanan kejayaan mereka terus dipermudahkan dan menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk menjulang nama negeri melalui kerja yang jujur, konsisten dan penuh integriti.
“Kelantan ada auranya, dan mereka berdua adalah sebahagian daripada seri itu. Kelantan mendoniaa,” katanya.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan Usaha terbaru KA setelah beliau mengumumkan restoran pertamanya yang dikenali sebagai Rembayung dengan nilaian pelaburan berjumlah RM4 juta.
Restoran yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur ini akan menyajikan masakan Melayu traditional dengan sentuhan moden dalam suasana kampung moden yang mampu menampung 250 tetamu.
Foto: Internet
Menurutnya KA, pembukaan restoran tersebut merupakan pelaburan tunggal terbesarnya untuk satu projek.
"Selepas 10 tahun aktif dalam Dunia online, akhirnya saya bersedia melangkah ke dunia offline. Ini adalah permulaan bagi perancangan 10 tahun seterusnya," kata beliau seperti yang dilaporkan media.


No comments:
Post a Comment