Thursday, 29 March 2012

Ibubapa bisu, tetapi anak cemerlang SPM 20011bi






Saya hampir menitis air mata bila bertemu dengan ibubapa pelajar cemerlang  sekolah agama Arab ini.
Betapa tidak, mereka tidak mampu bercakap, mendengar, sebaliknya mempunyai  anak pelajar cemerlang.


Bukan sahaja tidak mampu bercakap, sebaliknya ayah Baiti Mohd Parik hanyalah seorang tukang rumah yang berpendapatan kurang RM700 sebulan.


Nur Baiti Mohd Parik, 18 merupakan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama (A) Tarbiah Mardhiah Panchor.


Baiti bukan sahaja berjaya mencipta rekod baru pelajar cemerlang 9A dalam peperiksaan SPM tahun lalu, sebaliknya sekolah MTM itu sendiri buat julungkalinya muncul 100 peratus lulus SPM.


Apa yang membanggakan, MTM hanyalah sebuah sekolah agama rakyat yang dibantu oleh kerajaan negeri di bawah Yayasan Islam Kelantan.


Bagaimanapun sentiasa muncul salah sebuah sekolah bantuan kerajaan negeri yang unggul berikutan kejayaan yang dicapai pelajar dan aktiviti ko-kurikulumnya.


Menariknya pasangan suami isteri ini, tidak bersekolah, namun mampu berkomunikasi sesama sendiri termasuk anak-anak melalui teknik sendiri.


Sebagaimana ibu lain, kejayaan anak-anak mereka bergantung pada doa-doa seorang ibu disamping usaha lain.
Begitu juga dengan ibu Baiti, Suria Abdul Rahman, 41 yang turut mendoakan untuk kejayaan tujuh orang anak-anaknya.


Suria juga melahirkan beliau bersama suaminya begitu bangga dengan kejayaan anak-anaknya yang lain termasuk Baiti yang berjaya mencipta rekod baru di sekolah agama rakyat itu.


Sambil menadah tangan, kemudian raup ke muka, Suria menggayakan sebagai tanda berdoa pada Allah untuk kejayaan Suria apabila ditanya sebagai seorang ibu apa yang dilakukannya.


Seorang anak yang baik, berpendidikan Islam, Baiti langsung tidak berasa malu mempunyai ibubapa yang cacat pendengaran seperti ibu dan ayahnya.


"Tidak, saya langsung tidak berasa malu, memang itu sudah ditakdirkan oleh Allah untuk mereka, saya redha dengan ketentuanNya,"ujar Baiti ketika ditanya adakah dia rasa malu mempunyai ibubapa yang sedemikian.


                                                        


Baiti hanya seorang pelajar yang agak pendiam, agak pemalu, namun kerana kepandaiannya dalam pelajaran, beliau dilantik sebagai pengawas di sekolahnya.                                 


Saya juga ingin berkongsi di sini, dua orang adik beradik ayahnya juga tidak mampu bercakap. Tujuh adik beradik yang lain normal sebagaimana manusia lain.


Saya berkongsi pengalaman bertemu dengan keluarga istimewa ini di sini untuk menyuntik semangat  agar kita juga turut mendoakan anak-anak untuk kejayaan mereka.


Kerana itu, saya menerima cadangan Mudir MTM, Ustaz Tajuddin Mamat, untuk melakukan lawatan kekeluargaan ke rumah ibubapa Baiti.                                                                  


Dengan semangat kerjasama, anggota exco kerajaan negeri Wan Ubaidah Omar, Nisa' Pengkalan Chepa untuk turut serta dalam lawatan itu.


Tenaga pengajar MTM yang lain,  Setiausaha Pentadbiran, Fatma Mahmood, Setiausaha Halehwal Murid, Nur Azah Ab Rahman Setiausaha SPM, Balkish Mansor dan Shahrina Shaari, guru redaksi, Munirah Embong turut berkunjung ke rumah Baiti.


Masing-masing menyampaikan cenderahati sebagai tanda sokongan dan tahniah kepada Baiti dan kedua ibubapanya di atas kejayaan itu.


                                                          



Friday, 23 March 2012

Saturday, 17 March 2012

Oki Setiana Dewi yang aku kenali.


Bertemu Oki Setiana Dewi, 23, terasakan bermimpi. Benarkah aku bertemu dengannya? Benarkah selama tiga hari bersamanya? Betapa tidak jauh dari Indonesia, hanya mengenalinya dari sebuah filem Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2, kemudia senatron Ketika Cinta Bertasbih. Terasa jauh tidak mudah untuk digapaikan tangan untuk mencapainya.

Sebagaimana terasa bermimpi bertemu novelis 'Ayat-Ayat Cinta' dari Indonesia, Ustaz Habiburrahman Al-Syirazy, begitu juga ketika bertemu Oki Setiana Dewi anak sulung dari dua adik beradik yang cukup istimewa kisah hidupnya.

Seorang gadis yang lembut, tapi peramah, mudah tersenyum, bagaimana lembut watak yang dilakukan dalam Ketika Cinta Bertasbih, begitulah di luarnya. Mudah tersenyum, berbicara yang sopan.

Ternyata Oki begitu senang di negeri Tadahan Wahyu yang mula dicintainya itu. Banyak memuji negeri Kelantan bukan sahaja Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebaliknya memuji kaum wanita Kelantan yang sebahagian besarnya menutup aurat, rajin mencari ilmu di masjid-masjid.

Ketenangan, keindahan, keunikan Kelantan yang dilaluinya telah diluahkan dalam puisinya yang bertajuk Negeri Kelantan Seindah Namamu.  Saya tidak mahu mengulas tentang puisi yang dibacakannya, sebaliknya penghayatan, rasa cinta yang ada pada jiwanya terhadap negeri ini itu yang menyentuh kalbu saya.

Saat pengerusi majlis menyebut beliau akan membacakan puisi, hati saya berdebar..kencang... ingin ketahui gerangan puisi yang bakal dibaca... langsung tidak diduga...itu yang terjadi.

Sepanjang tiga hari bersamanya, sejak awal kedatangannya saya turut menyambutnya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bersama urusetia program. Berkenalan lebih kurang, keesokkan harinya ke kediaman rasmi Menteri Besar JKR 10, sepatutnya wawancara jam 12.00 tengahari pada 9 Mac lalu, namun kesuntukan waktu, terpaksa ditunda pada sebelah petang selepas sesi pertemuan dengan Tuan Guru.
Pada malamnya, ke KTC majlis Bicara Selebriti sempena Hari Hiburan Islam anjuran Kerajaan Kelantan dan keesokan harinya pula pelancaran bukunya yang kedua Sejuta Pelangi di Perpustakaan Awam.

Sepanjang tiga hari, kami semakin mengenali antara satu sama lain, sehinggakan tidak pernah berlaku dalam sejarah, anak nombor tiga ku Aisyah mengajakku ke Indonesia untuk ke rumah Oki. Ibunya juga termasuk pengurus Oki semakin rapat dengan anak-anakku. Hahahaha... aduhhh....tapi tentu saja bolehkan? tidak ada yang mustahil...

Di akhir pertemuan, kami bersalam erat... lama... penuh erti. matanya mula berkaca... berulangkali mengucapkan terima kasih atas segalanya. Saya tahu dia bersedih untuk meninggalkan Kelantan.  Saya dan keluarga mengambil keputusan untuk tidak menghantarnya di Lapangan Terbang. Cukup berakhir di perpustakaan itu sahaja.

Kini hanya tinggal kenangan. Semoga bait-bait bicara Negeri Kelantan Seindah Namamu tidak akan melupakannya terhadap negeri kita ini.  Mungkin kita akan bertemu kembali. Insyaallah




Friday, 16 March 2012

Bunga hutan- tak pasti apa namanya

Apa dipandang bunga di taman
Andai cantik tiada harumnya
Apa kurangnya bunga di hutan
Indah berseri santun terpelihara


Dirakam di Gua Musang, sempena pilihanraya kecil Dun Galas



Semoga Nasib Azroy Seindah Matanya


Azroy yang sentiasa lincah dan beraksi sentiasa menceriakan suasana

Dia seorang anak yang baik, seorang anak yang pintar, bertanggungjawab, sentiasa riang. Dia cukup istimewa.

Kalau berjumpa dengan saudara terdekat khususnya bapa saudaranya yang dipanggil Pak Tua tinggal di Kelantan yang sudah lama t idak bertemu, dia akan melompat kegirangan sambil memeluk orang yang dirinduinya itu.  Mungkin dia berkata "Ehhh.....lamanya tak jumpa, apa khabar, gembiranya dapat bertemu".

Azroy Akif Irfan Bin Hazrol Nizam, 6, seorang kanak-kanak lincah dan cerdik. namun tidak mampu bercakap atau mendengar kerana kemalangan yang tidak disedari telah berlaku ketika dia berusia 1 tahun 7 bulan.

Betapa tidak, anak yang dilahirkan pada 17 Mac 2006 itu, sebenarat 3.7 di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu yang cukup sempurna sifat pada mulanya akhirnya hilang tiba-tiba hanya kerana satu kejadian.

Azroy ditakdirkan tidak mendengar kerana itu tidak mapu bercakap hingga kini setelah telinganya tercucuk putik kapas yang dikorek sendiri oleh anak malang ini ketika itu.

Selepas kejadian, ibunya Nora Amita yang baru pulang dari kerja terus membawa anaknya ke klinik untuk mendapat rawatan. Bagaimanapun pihak doktor yang merawatnya memberitahu tidak ada apa yang berlaku.

Namun seminggu kemudian, tiba-tiba kedua belah telinga Azroy bernanah. Nora dan suaminya Zam terus membawa anaknya itu ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu.

Namun segalanya telah terlambat, dua belah telinga anaknya itu telah rosak akibat jangkitan kuman setelah gegendang telinganya rosak.

Nora dan Zam menerima ketentuan takdir Ilahi itu dengan hati yang tabah, kering sudah air mata sepasang suami isteri ini.  Jika diraung, jika ditangisi ianya tidak akan pulih semula. Apa yang perlu dilakukan bukan lagi untuk berduka menerima ketentuan takdir itu, sebaliknya berusaha untuk masa depannya.  Kerana itu Azroy kini sedang belajar di Sekolah Pendidikan Khas, Johor Bharu.

Walaupun Azroy ditimbah takdir sedemikian, namun dia bertuah kerana mempunyai kedua ibubapa yang bertanggungjawab yang sentiasa berusaha untuk melakukan persiapan untuk masa depannya.
Nora terpaksa menukar shif kerja berbanding biasa hanya kepada shif petang sahaja bagi membolehkan beliau menghantar Azroy ke sekolah disamping memasak sebelum ke sekolah.

Namun, tahukah anda Azroy mempunyai sepasang mata yang cantik dan jarang ditemui oleh masyarakat di negara kita ini?. Ke mana dia pergi tentu saja matanya menjadi perhatian dan sering disapa walaupun dari orang yang tidak dikenali.  "Ehh... cantiknya mata dia...", itu adalah ungkapan biasa yang sering diterima keluarga ini. Namun Azroy yang memahami matanya menjadi teguran, tersenyum manis. "heheheheh..." gelak....

Azroy mempunyai sepasang mata berwarna grey (biru kelabu). Itulah anugerah Allah yang amat tidak ternilai untuknya. Kebiasaannya rakyat Malaysia sekiranya mempunyai mata yang berlainan warna selain coklat dan hitam, akan menghadapi masaalah pengelihatan, namun Azroy tidak sedemikian.

Nora dan Zam berharap suatu hari nanti Azroy mampu bercakap memandangkan dia kini menggunakan alat pendengaran khas.

"Andainya dia memakai dengan baik, insyaallah dia mampu mendengar dan apabila dia boleh mendengar, insyaallah dia boleh bercakap,"ujar Zam.

"Semoga nasib anakku seindah matanya,"doa Nora untuk anak sulung yang menjadi kebanggaannya itu.


Azroy bersama sepupunya Asiah
Wajah terkini Azroy dari album keluarga Fb ibunya Nora Amita

Friday, 11 November 2011

Senja Di Tepi Sungai Kelantan

Kebetulan cuaca pada petang 9 November lalu begitu indah sekali. Memberi ilham untuk shoot photo ini untuk tatapan anda....





Monday, 7 November 2011

Pepatong

Allah jadikan semua makhluk... ada tujuannya... namun apa yang pasti... ia tetap indah di mata





Friday, 14 October 2011

Hinggap

Kadang-kadang dia datang... kemudian dia pergi... datang dan pergi... pergi lagi....


Dia Pergi Jua

"Kiah apa khabar? lama tak nampak dia?,"soalku pada Maryam, kakak Rokiah selepas lama kami bersembang.


Saya bertanya khabar tentang Rokiah sebab sudah hampir empat tahun rasanya tidak bertemu dengan dia.  Namun pertanyaan itu menyebabkan wajah Maryam, agak berubah sambil mengerutkan dahi.


"Kak, Rokiah dah tak ada dah. Dia dah meninggal lama, hampir empat tahun lalu,"ujarnya.


Saya begitu terkejut, tak sangka pertemuan hampir empat tahun lalu adalah pertemuan yang terakhir.  Saya mengenali Rokiah, Maryam serta adik beradiknya yang lain sudah lama, waktu itu mereka masih kecil lagi, termasuk Maryam.


Empat tahun lalu saya bertemu dengannya sewaktu dia bersama seorang anaknya yang ketika itu berusia tujuh bulan, serta suaminya di sebuah taman di Bandar Kota Bharu.


Saya begitu gembira akhirnya dia berkahwin dengan orang yang benar-benar menyintai dirinya.  Namun perasaan halus ini turut tertanya-tanya bagaimana kesihatan dia sekarang? sebab sebelum ini dia pernah memberitahu saya dia telah dijangkiti HIV.


Semuanya gara-gara cinta anak muda yang entah apa-apa..... kerana cinta dikorbankan segala-galanya.  Dia pernah memberitahu saya dia turut dijangkiti HIV akibat hubungan terlarang itu.


Memang dia meninggal dunia akibat penyakit itu, namun saya bersyukur hingga di saat akhir hidupnya kasih sayang seorang suami benar-benar terbukti.


Dia bukan sahaja meninggal dunia di pangkuan suami, sebaliknya hingga ke liang lahad, suaminya sendiri turunkan dia dalam liang lahad.


Menitis air mata ini kerana begitu terharu. Terbayang sewaktu bertemu mereka, anaknya banyak dikawal, dijaga oleh suaminya, sedangkan dia begitu leka bersembang dengan saya.


Saya tidak pasti apakah suami dan anaknya turut menghidap penyakit yang sama akibat berjangkit dengan arwah....hingga kini saya tidak bertemu lagi dengan mana-mana keluarga allahyarham.


Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.... Amin..

Thursday, 13 October 2011

Bunga Rumput

Bunga rumput yang memberi seribu makna.... tenang... damai... indah....syahdu....


Friday, 7 October 2011

Kesian dia... tapi apakan daya...

"Kini saya telah cuba menghubungi keluarga saya di Johor, saya juga rindu pada mereka, tetapi saya cukup sedih kerana no telafon rumah saya dahulu sudah tiada lagi.

"Saya juga mendapat maklumat, keluarga saya sudah tidak tinggal di kampung itu lagi, mereka telah berpindah... rumah yang kami duduki bersama sejak sekian lama telah dijual... mungkin untuk belanja mencari saya," ujar Ani kepada ku.

Subhanallah..... sudah berbelas tahun dia meninggalkan keluarga dan bertemu jodoh dengan orang Melayu dan akhirnya memeluk agama Islam. Menetap di Kelantan.

Tapi malangnya, mungkin sudah takdir suaminya jatuh sakit, namun beliau bersyukur kerana hasil perkongsian hidup lebih lapan tahun itu beliau sempat melahirkan empat orang zuriat, seorang daripadanya telah meninggal dunia.

Walaupun muallaf, namun Ani berusaha untuk menjadi seorang hambaa Allah yang baik.  Hasilnya beliau sendiri berajaya menjadi guru al-Quran pada anak-anaknya sendiri... alhamdulillah....

Beliau seorang wanita cekal, rajin berusaha... walaupun hidup dalam keperitan, tidak pernah terlintas di hatinya untuk kembali pada ajaran agamanya yang asal... Budha...

Setiap kali bertemu saya... dia pasti akan datang.. dan bersalaman dengan saya....seakan ingin mencium tangan saya sewaktu bersalam. sbuhanallah..... semoga ada sinar kebahagiaan dalam hidupnya.... semoga dia kembali bertemu dengan keluarganya yang semakin dirindui.....Ya ALLAH... kau kabulkanlah doanya...

Puteri-puteriku Di Ambang Senja

Kedamaian

Wednesday, 5 October 2011

Salam Perkenalan

Assalamualaikum....

Mungkin agak terlewat .... ketika telah lama orang membicarakan tentang blog... saya baru mula berjinak dengannya. 
Namun diharap apa yang bakal saya paparkan beberapa kisah masyarakat, atau photo di sini tentang kehidupan masyarakat yang mempamerkan cerita dan kehidupan mereka dapat memberi manfaat yang berguna kepada pembaca sekalian di luar sana.
Insyaallah.....



Senja